KUALA LUMPUR 23 April – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran selari keperluan industri adalah kunci ke arah membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi pada tahun 2050.
TVET berperanan menjadi agen perubahan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara.
Malah, TVET juga mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan oleh industri dan negara bagi mengharungi fenomena Revolusi Industri 4.0.
Menyedari kepentingan TVET, kerajaan telah menjenamakan semula TVET sebagai TVET Malaysia sebagai satu usaha memperkasakan rakyat, selain memantapkan kolaborasi semua pihak berkepentingan dalam bidang itu agar TVET menjadi pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan serta berpotensi tinggi.
Penjenamaan semula TVET juga berupaya mengubah dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat yang sering beranggapan bahawa sistem pendidikan itu pilihan kedua atau hanya diceburi mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik baik.
Melalui TVET Malaysia, kerajaan akan menambah bilangan tenaga kerja mahir kepada 35 peratus menjelang 2020, selain meningkatkan kuantiti dan kualiti lulusan TVET dengan sasaran melahirkan 225,000 graduan TVET pada 2020 supaya agenda penyediaan tenaga mahir di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tercapai.
Selain itu, kerajaan juga berhasrat untuk melatih 300,000 rakyat terutama golongan B40 dari tempoh sekarang hingga 2025 bagi membantu meningkatkan kemahiran rakyat sekali gus membina kehidupan yang lebih baik di masa akan datang.
Usaha itu adalah antara langkah yang dilakukan bagi mencapai sasaran kerajaan untuk melahirkan sebanyak 3.3 juta pekerja dengan 50 peratus daripada mereka merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
Kini, terdapat kira-kira 1300 institusi TVET yang diuruskan oleh kerajaan mahupun pihak swasta, dengan menawarkan pelbagai kursus kemahiran selari kehendak industri.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/tvet-lahir-modal-insan-berkemahiran-tinggi-1.656517#ixzz5Dju8h4Qs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Gambar: Utusan Online