‘The Tong’ bantu asing sisa makanan

‘The Tong’ bantu asing sisa makanan

PORT DICKSON: Menyedari masalah sering dihadapi pengusaha kantin sekolahnya, tiga murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Lukut di sini mencipta alat mengasingkan bahan buangan dari sisa makanan yang dibuang ke dalam tong sampah.

Ciptaan dikenali sebagai The Tong itu dihasilkan Nurdamia Kyra Saiful Azan, Suri Adani Mohd Khidzir dan Irdina Razlee masing-masing berusia 11 tahun dengan dibantu guru penasihat, Norazuraini Zakaria.

Menurut Norzuraini dengan modal RM50, alat berkenaan dihasilkan menggunakan barangan kitar semula seperti kotak dan tong sampah.

“Bagaimanapun, untuk penambahbaikan ciptaan inovasi ini, mereka membeli batang paip yang digunakan sebagai tiang dan kaki untuk menguatkan The Tong supaya berfungsi dengan baik.

“Apabila alat ini digunakan di kantin, ternyata ia membantu menjimatkan masa pekerja kantin untuk membersihkan pinggan yang sudah diasingkan daripada sisa makanan,” katanya ketika ditemui NSTP.

Katanya, produk ciptaan tiga rakan itu turut menyertai di Karnival STEM Peringkat Negeri acara Rekacipta dan Inovasi Sekolah Rendah di Kuala Pilah minggu lalu.

“Daripada segi alat ciptaan yang direka khas untuk mengasingkan sisa makanan bagi mengatasi masalah murid dan pekerja kantin sekolah, ia amat berjaya sehingga diberi markah tertinggi tetapi masalah penyampaian yang sedikit terganggu menyebabkan mereka mendapat tempat ketiga.

“Namun bagi saya, mereka sudah berjaya mencipta sesuatu yang amat berguna. Mungkin selepas ini akan ada penambahbaikan kepada The Tong ini seperti meletakkan tayar dan menggunakan plastik bagi menggantikan kotak untuk tahan lebih lama,” katanya.

Ketua projek, Nurdamia Kyra, berkata dia dan dua rakan baiknya itu mendapat idea selepas melihat kesukaran pekerja kantin mengasingkan sisa makanan dan pinggan yang digunakan murid selepas makan.

“Waktu rehat terlalu ramai murid makan di kantin dan kebanyakannya mereka makan tidak habis menyebabkan banyak pinggan dan sisa yang diletakkan ke dalam tong yang disediakan pengusaha kantin.

“Di sini kami bertiga dapat idea apa yang perlu dilakukan dan menyatakan keinginan kami untuk mencipta satu alat kepada Cikgu Nor (Norzuraini). Beliau memberi galakan dan menyokong hasrat kami sehingga terciptalah The Tong,” katanya.

 

Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan
Gambar: BH Online