SMK Seafield cipta hatrik Koir Antarabangsa

SMK Seafield cipta hatrik Koir Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield, Subang Jaya melakukan hatrik menjuarai Gold Diploma’ Pertandingan Koir Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICC) kategori remaja.

SMK Seafield mengungguli kategori itu sejak 2016.

Terkini, dalam pertandingan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), di sini, SMK Seafield yang mewakili Selangor menewaskan C-Breeze Choir dari Negeri Sembilan dan Kepong Shines, Kuala Lumpur pada pertandingan akhir.

Kejayaan itu membolehkan Sekolah Kluster Kecemerlangan itu membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM500; tempat kedua menerima `silver diploma’ dan wang tunai RM300 serta ketiga `bronze diploma’ dan wang tunai RM200.

Pasukan dari Indonesia, Medan Community Male Choir mengungguli kategori terbuka.

Turut mengambil bahagian adalah Sujatha Vidalaya Nugegoda Youth Choir dari Sri Lanka yang turut menampilkan peserta berbangsa Melayu Sri Lanka.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohamad Adzan Mohd Fadzil.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tan Sri Norliza Rofli.

Sementara itu, Ketua Choir Angels SMK Seafield, Reena Zuhdi, berkata kejayaan berkenaan membuktikan sekolah yang kerap diundang ke peringkat antarabangsa itu berada dalam kelas tersendiri di negara ini.

“Bukan mudah mengekalkan kejuaraan tetapi SMK Seafield berjaya membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di negara ini.

“Kami akan berusaha mengekalkan pencapaian ini musim depan. Pasukan koir ini juga masih meneruskan latihan untuk menghadapi pertandingan pada peringkat kebangsaan Julai ini. Jadi, belum masanya lagi untuk kami berehat.

“Sudah lima tahun saya bersama pasukan ini, pelbagai cabaran kami tempuh untuk memastikan kejayaan pasukan ini hingga sekarang,” katanya.

Choir Angels adalah sekumpulan ibu bapa yang sukarela membantu menguruskan keperluan pasukan koir seperti keperluan kostum, makan minum semasa latihan hinggalah pertandingan, persiapan semasa pertandingan dan mengiringi pasukan ke temasya pertandingan di dalam dan luar negara.

 

Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/05/427400/smk-seafield-cipta-hatrik-koir-antarabangsa
Gambar: BH Online