Petaling Perdana juara ‘Choral Speaking’ Selangor

Petaling Perdana juara ‘Choral Speaking’ Selangor

PETALING JAYA: Daerah Petaling Perdana menjadi juara pertandingan ‘Choral Speaking’ iaitu pengucapan atau bicara berirama, peringkat negeri Selangor awal bulan ini.

Daerah diwakili Sekolah Kebangsaan Subang Jaya (SKSJ) membabitkan 35 ahli itu menewaskan 10 daerah lain dengan persembahan yang bertenaga lagi menghiburkan.

Tajuk penyampaian ‘Lessons From Fairy Tales’ berjaya mengakhiri penantian juara daerah selama enam kali itu untuk menjuarai pertandingan peringkat negeri.

SKSJ mula mengambil bahagian dalam pertandingan ‘Choral Speaking’ sejak tahun 1990an dan pernah layak ke peringkat kebangsaan selama tiga kali dan mengungguli Pertandingan ‘Choral Speaking’ Sekolah Kluster Kebangsaan pada 2015.

Selepas memenangi pertandingan peringkat daerah pada 14 April lalu, pasukan SKSJ berlatih dengan gigih di bawah bimbingan guru, S Revathi dan R Sharmila.

Pengetua SKSJ, Hasimah Bohari, memanjangkan penghargaannya kepada guru dan pelatih pasukan ‘Choral Speaking’ atas perjuangan serta bimbingan mereka sehingga pasukan sekolah memenangi pertandingan itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan ‘Choral Speaking’ SKSJ dan amat bangga dengan pencapaiannya berkat latihan bersungguh-sungguh.

Tempat kedua dimenangi pasukan mewakili daerah Petaling Utama manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan mewakili daerah Gombak.

 

Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/07/454573/petaling-perdana-juara-choral-speaking-selangor
Gambar BH Online