Pelajar SMK Tunku Besar Burhanuddin Cemerlang di pentas dunia

Pelajar SMK Tunku Besar Burhanuddin Cemerlang di pentas dunia

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin (SMKTBB), Seri Menanti, Negeri Sembilan teruja apabila terpilih menyertai World Adolescent Robot Contest 2018 di Guiyang, China dari 20 hingga 25 Julai ini.

Peserta yang semuanya pelajar Tingkatan Dua itu ialah Mohamad Qassiem Iqbal Mohamad Adnan; Mohamad Adam Azri Ramli dan Nabil Hasyiri Abdul Rahman.

Ketua pasukan, Mohamad Qassiem Iqbal, berkata pemilihan mereka ke China dibuat selepas mendapat keputusan cemerlang dalam pertandingan 2018 Malaysia FIRST Global Challenge di Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu.

Beliau berkata, selepas terpilih, mereka membuat persiapan rapi untuk ke sana.

“Selain itu, kesempatan bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pastinya memberi suntikan semangat lebih-lebih lagi kami berasal dari Negeri Sembilan dan mewakili Malaysia.

“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik apabila bersaing dengan kira-kira 30 pasukan dari seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, baru-baru ini.

Minat bidang robotik

Yang turut hadir, Pengarah Program FIRST Global Malaysia, Ilylia Kamaruzaman; guru SMKTBB, Ramlee Abdul Hamid dan jurulatih pasukan, Ramzan Jalaludin.

NABIL Hasyiri Abdul Rahman (tengah) bersama Muhammad Adam Azri Ramli (kiri) dan Mohamad Zassiem Iqbal Mohamad Adnan menunjukkan robot yang diberi nama Seri Meranti Warriors yang bakal dipertandingkan pada Robot Belia Dunia 2018 di China minggu depan. – Foto Nik Hariff Hassan

Robotics Learning (M) Sdn Bhd selaku penganjur program FIRST Global Malaysia, sangat komited bagi memastikan pelajar terutama di luar bandar mendapat akses kepada program yang dapat meningkatkan minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya dalam cabang Pendidikan robotik dan pengaturcaraan komputer.

Nabil Hasyiri berkata, mereka akan melaksanakan tugas sebagai pembina robot, pengatur cara robot dan pengendali robot apabila bertanding dalam World Adolescent Robot Contest 2018.

“Kami akan gunakan ilmu robotik yang dipelajari sejak dari sekolah rendah lagi dan berusaha untuk mencapai keputusan terbaik serta mengharumkan nama negara,” katanya.

Sementara itu, Ilylia berkata, pertandingan di China berupaya membuka mata kepada pelajar yang terpilih kerana selain menyaksikan kehebatan pasukan lain mereka berpeluang menimba pengalaman untuk meningkatkan pengetahuan robotik.

 

Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/07/450608/pelajar-smktbb-bersaing-di-pentas-dunia
Gambar: BH Online