Kementerian Pendidikan, PDRM kerjasama bentuk sahsiah murid

Kementerian Pendidikan, PDRM kerjasama bentuk sahsiah murid

SEMENYIH – Program Jom Ke Sekolah adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia untuk  meningkatkan kecemerlangan dan kemenjadian murid dalam membentuk sahsiah murid yang terpuji.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, pihak sekolah khususnya guru dapat  memainkan peranan sebagai  pendidik, pembimbing dan pemudahcara  disamping berperanan sebagai guru displin.

“Aspek kemenjadian murid harus dilihat secara holistik dan menyeluruh daripada segi akademik, sahsiah, kokurikulum dan sukan.

“Bagi menarik minat murid ke sekolah, pendekatan sekolah terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran haruslah sentiasa menarik dan berkesan,” katanya.

Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia  telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerapan  elemen pembelajaran menyeronokkan dengan konsep sekolah penyayang dan menangani isu keciciran murid.

“Kita perlu memastikan murid-murid gembira ke sekolah  sekaligus dapat melahirkan insan yang seimbang  dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya pada perasmian Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia: Program Jom Ke Sekolah Peringkat  Kebangsaan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma, di sini, semalam.

Majlis tersebut merupakan program kolaborasi antara  Kementerian Pendidikan  Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam usaha menangani permasalahan disiplin dan salah laku murid. Penglibatan polis dalam kawasan sekolah adalah melalui Pegawai Perhubungan Sekolah di semua sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia  menggalakkan sekolah menyedia dan menggunakan ‘Papan Kenyataan Pegawai  Perhubungan Sekolah’.

“Papan kenyataan ini dapat digunakan semaksimum mungkin oleh warga sekolah dan Pegawai Perhubungan  Sekolah, pihak berkepentingan dapat menyalurkan  maklumat kepada pihak sekolah berkaitan informasi dan berita tentang kepolisan,” katanya.

Artikel Penuh: https://www.karangkraf.com/gps-bestari/kementerian-pendidikan-pdrm-kerjasama-bentuk-sahsiah-murid-1.922193
Gambar: GPS Bestari