Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di landasan tepat

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di landasan tepat

NILAI: Kejayaan pelajar menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang diumumkan baru-baru ini, membuktikan transformasi pendidikan negara berada di landasan tepat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata KBAT adalah perkara asas dalam transformasi pendidikan yang perlu diberi penekanan untuk memastikan penilaian pencapaian akademik pelajar lebih dinamik dan menyeluruh.

Menurutnya, keputusan SPM 2017 yang diumumkan minggu lalu menyaksikan sebanyak 66 peratus calon menguasai KBAT dengan baik.

“Melihat kepada kualiti jawapan calon, sebanyak 27 peratus calon menguasai KBAT pada tahap tinggi manakala 39 peratus tahap sederhana dan 34 peratus tahap rendah.

“Calon menguasai kemahiran mengaplikasi pada tahap yang tinggi, namun kemahiran menganalisis, menilai dan mencipta masih pada tahap sederhana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Komensmen Institut Aminuddin Baki Ke-19 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Dr Amin berkata, Kementerian Pendidikan meletakkan penanda aras iaitu 50 peratus soalan KBAT dalam kertas peperiksaan, berdasarkan pencapaian yang baik sejak tiga tahun pelaksanaannya.

Katanya, pada SPM 2016 hanya 20 peratus soalan KBAT daripada keseluruhan soalan, meningkat kepada 25 peratus tahun lalu dan akan bertambah setiap tahun sehingga mencapai sasaran 50 peratus.

“Fokus utama kita (kementerian) bukan hanya melihat semua A dalam peperiksaan tetapi melihat sejauh mana pelajar itu cemerlang dari segi penguasaan berfikir aras tinggi.

“Salah satu aspek baru yang akan dinilai selepas ini adalah penguasaan KBAT di peringkat sekolah rendah dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan datang,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap elemen KBAT akan terus dipupuk dalam kalangan pelajar seawal peringkat sekolah rendah seiring era teknologi dan pembangunan pesat pendidikan dunia.

 

Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/03/400667/kbat-di-landasan-tepat

Gambar: BH Online