
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dibangunkan dengan menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dalam pendidikan dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa.
Pelan ini juga melakarkan visi sistem pendidikan Malaysia, pelbagai faktor yang dapat mencapai aspirasi murid serta anjakan yang perlu dilakukan daripada aspek strategik dan operasional untuk mencapai visi ini.
Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu. Dalam tempoh 15 bulan (Oktober 2011 hingga Disember 2012), Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid, dan orang ramai di seluruh negara.
Pelan transformasi pendidikan kini dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi murid sejajar dengan standard pendidikan antarabangsa, meningkatkan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara, dan mempersiapkan generasi muda Malaysia untuk menghadapi keperluan abad ke-21.
