Cikgu Sirhajwan menang anugerah lagi

Cikgu Sirhajwan menang anugerah lagi

PUTRAJAYA 1 Mac – Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd. Sirhajwan Idek, 29, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Komuniti untuk Kewarganegaraan oleh sebuah pertubuhan antarabangsa, Global Educational Supplies and Solutions (GESS) atas sumbangan beliau kepada komuniti pendidikan.

Anugerah tersebut diterimanya dalam majlis yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam yang sekali gus membuktikan guru Malaysia berkeupayaan, berdedikasi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Mohd. Sirhajwan menewaskan finalis dari tujuh negara lain seperti UAE, United Kingdom, Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Afrika untuk kategori berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian guru tersebut memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa adalah luar biasa dan amat membanggakan profesion keguruan di negara ini.

“Saya berasa amat bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Cikgu Mohd. Sirhajwan yang bukan sahaja mengharumkan nama negara malahan membuka mata dunia kepada satu pencapaian yang besar dan bidang pendidikan,” katanya dalam satu kenyata­an di sini hari ini.

Anak kelahiran Kota Belud yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu pernah muncul sebagai juara dunia bagi Anugerah Inovasi dan Keusahawanan Cemerlang Antarabangsa Dalam Pengajaran di Paris tahun lalu.

Kejayaan ini adalah yang keempat Mohd. Sirhajwan di peringkat antarabangsa untuk tahun ini dan tahun lalu.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cikgu-sirhajwan-menang-anugerah-lagi-1.619162#ixzz58Zqdoxj5
Gambar: Utusan Online

Hubungi Kami

Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU)
Aras 3, Blok E9, Kompleks E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya
Malaysia

03-88881001

03-88881146

info@padu.edu.my