PADU dinobatkan sebagai pemenang kategori ‘Game Changer’ di persidangan Bett Asia 2019

PADU dinobatkan sebagai pemenang kategori ‘Game Changer’ di persidangan Bett Asia 2019

Pada 13 Mac 2019, PADU telah dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Game Changer di persidangan berprestij Bett Asia. Anugerah Bett Asia diwujudkan khas untuk memberi pengiktirafan serta meraikan segala usaha dalam bidang Pendidikan, seiring dengan tema “Membina Budaya Perubahan untuk Penyampaian Pembelajaran Abad ke-21”.

Penyertaan PADU dalam Anugerah Bett Asia adalah berdasarkan usaha kreatif dan inovatif dalam menerap budaya pembelajaran Abad ke-21. Pendekatan yang digunakan PADU melibatkan anjakan paradigma dalam kalangan guru menerusi Kempen Guru Pembelajaran Abad ke-21. Kempen ini menggalakkan guru-guru untuk berkongsi amalan terbaik dalam mengaplikasikan pembelajaran Abad ke-21 ke dalam bilik darjah mereka. Kempen yang berlangsung dari 20 Disember 2018 hingga 31 Januari 2019 telah menerima melebihi 1,000 penyertaan guru dari seluruh pelusuk Malaysia. Penyertaan yang diterima adalah daripada guru pelbagai subjek seperti Bahasa, seni, sains, sains sosial dan Pendidikan Islam/Moral.

Perkongsian amalan terbaik dan strategi pengajaran guru bertujuan untuk memantapkan  pengurusan perubahan yang mampan agar pembelajaran Abad ke-21 dapat diterap dalam bilik darjah di Malaysia. Di Malaysia Pembelajaran Abad Ke-21 merupakan pembelajaran berpusatkan murid yang memberi  fokus kepada lima standard asas kemahiran iaitu Komunikasi, Kolaborasi, Pemikiran Kritikal, Kreativiti serta Nilai dan Sahsiah (secara ringkasnya dikenali sebagai 4K1N). Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, layarilah laman Facebook menerusi https://www.facebook.com/kempengurupak21/.  

Pengiktirafan Bett Asia kepada PADU, yang telah dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Game Changer, membuktikan bahawa inovasi dan keupayaan PADU dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menerajui perubahan memberi keyakinan kepada masa hadapan yang cerah bagi pendidikan di Malaysia.

Bett Asia merupakan sebahagian dari siri persidangan teknologi Pendidikan Bett Global yang menyatukan pemimpin, pengamal dan pakar industri pendidikan dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Tahun ini, persidangan Bett Asia telah diterajui oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee bin Malik. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari: https://asia.bettshow.com/awards.