GURU ADIWIRA SEPANJANG ZAMAN

GURU ADIWIRA SEPANJANG ZAMAN

KERJAYA sebagai seorang guru dikatakan sering menjadi pilihan akhir dalam kebanyakan senarai profesion.

Generasi sekarang lebih berminat kepada bidang berkaitan kedoktoran dan kejuruteraan berbanding guru.

Sedangkan profesion perguruan sangat disanjung tinggi di mata masyarakat dan ia antara 10 kerjaya paling dihormati di dunia.

Kelebihan yang dimiliki guru-guru di Malaysia sebenarnya telah mendapat perhatian dunia.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, negara luar melihat guru Malaysia sangat hebat hinggakan Arab Saudi menghantar guru-guru mereka ke negara ini untuk dilatih dan mempelajari apa yang guru di Malaysia lakukan.

Sistem pendidikan di Malaysia dilihat sedang mengorak langkah dalam usaha memajukan dan memartabatkan lagi golongan guru di negara ini.

Di bawah inisiatif Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti 100 guru Adiwira PAK21 yang banyak melakukan inovasi dan kreativiti demi mendidik anak bangsa.

Guru-guru itu dilantik sebagai ‘edufluencers’ bagi KPM dan diraikan dalam satu majlis baru-baru ini.

KPM mahu guru di negara ini kekal menjadi adiwira sebenar dan kembali kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik dan memperluaskan konsep sekolah penyayang.

Inisiatif terbaharu itu juga membolehkan guru lebih mendalami tingkah laku, merasai denyut nadi kehidupan murid dan mendekati anak-anak murid bagi membantu mereka mencapai prestasi akademik dan sahsiah diri.

Seorang guru perlu ‘jaga tepi kain orang’ supaya dapat berkongsi kekuatan anak-anak murid dengan ibu bapa masing-masing

Dalam era yang serba mencabar ini, tidak dinafikan guru perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi seiring dengan dunia yang semakin membangun, teknologi semakin canggih serta anak-anak yang semakin pintar.

Ia belum ditambah dengan masalah akhlak pelajar yang semakin merosot dan tidak menghormati guru.

Melalui program Adiwira PAK21, moga harapan menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia dari segi sikap, pemikiran sivik, kehebatan guru dan sistem pendidikan yang mampan mampu menjadi kenyataan.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/59261/Lidah-Pengarang/Guru-adiwira-sepanjang-zaman
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf