Jelajah Pendidikan KPM Tahun 2018

1
2
3
4

Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 memberi peluang kepada Kementerian untuk mendekati masyarakat  di seluruh negara dengan berkongsi kejayaan serta mendapatkan pandangan serta maklum balas terhadap usaha Kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

Masyarakat seluruh negara berpeluang melihat sendiri transformasi pendidikan negara melalui pelaksanaan insiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  Program selama 2 hari ini, masyarakat akan disajikan dengan kejayaan hasil daripada transformasi pendidikan negara dan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan kita yang bakal menyediakan anak-anak mendepani cabaran masa hadapan. Inisiatif yang juga akan dikongsi dengan masyarakat termasuk bantuan persekolahan, memperkasa kualiti guru, menggalakkan perkongsian awam dan swasta serta pembangunan dan penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM.

Tahun ini KPM akan menjelajah ke enam lokasi di seluruh negara bermula di Kajang, Selangor; seterusnya ke Langkawi, Kedah; Pasir Puteh, Kelantan; Parit Buntar, Perak; Temerloh, Pahang dan Tawau, Sabah.

Jelajah Pendidikan ini adalah platform terbaik kepada masyarakat untuk bersemuka bagi bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan pendidikan samada di peringkat prasekolah sehingga di peringkat lepas menengah.


Mateen kini lebih kuat

ROBOT ciptaan tujuh pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru ke pertandingan robotik VEX Sedunia di Amerika Syarikat (AS) sebagai wakil negara pada April depan.

Dinamakan Mateen, robot berkenaan berjaya menarik perhatian juri sekali gus merangkul juara keseluruhan Vex IQ Challenge di Universiti Multimedia Cyberjaya pada 19 hingga 21 Januari lalu.

Pengendali Mateen, Alya Batrisya Shaharudin, 14, berkata robot itu hasil ciptaan bersama rakan yang dikenali Drax 7 selama tiga minggu dan siap sepenuhnya Julai 2017.

Katanya, reka bentuk robot itu dicipta bagi menyokong fungsinya yang mampu mengangkat, memasuk dan menjatuhkan gelung ketika pertandingan itu nanti.

“Kami semestinya teruja tetapi pada masa sama gementar untuk bersaing kerana lebih daripada 50 negara mengambil bahagian dalam pelbagai kategori.

“Robot ini ciptaan kami sendiri dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Guru Penasihat Robotik STF Mat Kamil Deraman.

“Reka bentuk robot Mateen ini yang keempat kami ubah suai kerana reka bentuk yang sebelum ini kurang sesuai dan tidak kuat untuk menempuh cabaran yang dihadapi,” katanya.

Ketua Pasukan Drax 7 Jazmin Safena Md Ridzwan, 14, berkata robotnya berjaya mengumpul 140 mata pada pertandingan yang melayakkan mereka ke Amerika Syarikat.

Katanya, mata maksimum yang boleh dikumpul dalam Cabaran Vex IQ adalah lebih 250 mata.

“Pada cabaran lalu, kami mendapat 140 mata dalam masa satu minit dengan dua pengendali robot. Kami cuma mengumpul lebih banyak mata untuk mendapat tempat pada pertandingan di sana nanti.

“Setiap cabaran memerlukan kepakaran dan kecekapan pengendali robot untuk mengumpul mata, selain ketangkasan, keupayaan dan kecekapan robot yang dicipta. Kedua-duanya perlu seimbang supaya lebih banyak mata dapat dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, Mat Kamil berkata, ini kali ketiga STF membawa robot ciptaan mereka ke Amerika Syarikat.

Tahun lalu, robot lain yang dibawa pelajar hanya memenangi Anugerah Reka Bentuk pada Pertandingan Vex IQ.

“Saya berharap Mateen mampu mendapat Anugerah Kecemerlangan yang menjadikannya juara keseluruhan pertandingan robotik VEX Sedunia di Amerika Syarikat kali ini.

“Pihak sekolah sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha robotik yang dihasilkan pelajar dan berharap ia dapat dimanfaatkan pelajar,” katanya ketika ditemui di STF hari ini.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/01/307058/mateen-kini-lebih-kuat

Gambar MyMetro

 


Taklimat Dashboard Inisiatif Utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2018

1
2
3

Taklimat Dashboard Inisiatif Utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2018 telah berlangsung di Dewan Melati 2 & 3, Putrajaya.

Sesi anjuran PADU ini telah dihadiri oleh 97 orang pegawai dari Bahagian-Bahagian berkaitan yang merupakan peneraju kepada sembilan belas (19) inisiatif utama bagi tahun 2018 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pegawai-pegawai PADU.

Peserta terdiri daripada Pengurus Program, Ketua Aliran Kerja (WSL) pada peringkat Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia,  Pegawai Penjaga Inisiatif (Officers-In-Charge) serta pegawai Unit Kewangan PADU.

Taklimat sehari ini bertujuan sebagai satu sesi perkongsian amalan terbaik untuk pengurusan inisiatif yang merangkumi  peranan dan tanggungjawab pasukan inisiatif, penambah baikan daripada pelaksanaan dan pemantauan tahun 2016 serta berkongsi proses kerja pelaksanaan dan pemantauan tahun 2017.  Peserta juga diberi pendedahan kepada pengurusan isu dan risiko serta pengurusan perubahan pelan inisiatif.  Selain itu kaedah pengisian Dashboard Mingguan inisiatif utama PPPM 2017 melalui platform pelaporan baharu telah diperkenalkan.  Garis Panduan Pengurusan Peruntukan PPPM 2013-2025 juga telah diberikan kepada semua peserta.


Hanya Lima Murid Di SK Tebing Rebak

BAGAN DATUK 2 Jan. - Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak di sini hanya mempunyai lima orang murid untuk sesi persekolahan 2018 yang bermula hari ini.

Mereka terdiri daripada dua murid Tahun Enam iaitu Ahmad Nur Syarwani Ahmad Kamal dan Nurul Hana Shafahani Murad; dua murid Tahun Dua iaitu Dhiya Sofia Muhamad Ridzuan dan Mohamad Adam Danis Hafiz Nizam serta seorang murid Tahun Tiga iaitu Muhamad Farez Daniel Murad.

Daripada kesemua murid berkenaaan, hanya Mohamad Adam merupakan murid baharu yang mendaftar masuk ke sekolah berkenaan tahun ini.

SK Tebing Rebak mempunyai lima orang guru iaitu tiga guru perempuan termasuk Guru Besar dan dua guru lelaki. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/video-hanya-lima-murid-di-sk-tebing-rebak-1.583303

Gambar: UTUSAN ONLINE


Upin Ipin, Pikachu Tambah Keceriaan Murid Tahun Satu

PUTRAJAYA 2 Jan.- Kehadiran tiga maskot animasi kegemaran kanak-kanak, Upin dan Ipin serta Pikachu di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) di sini menarik perhatian murid tahun satu yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Guru Besar SK Putrajaya Presint 11 (1), Rohana Abd. Manaf berkata, pihaknya menampilkan tiga watak tersebut adalah bertujuan untuk menghilangkan perasaan gementar dalam kalangan murid tahun.

“Selain itu, ia bertujuan mewujudkan suasana ceria kepada murid-murid baharu pada hari pertama mereka menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

“Saya dapati murid-murid sangat gembira dan wajah-wajah mereka sangat ceria sebaik sahaja melihat maskot tersebut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pada masa sama, kemunculan adik-beradik kembar murid tahun satu juga menarik perhatian hari pertama sekolah tersebut.

Pasangan kembar itu, Darwisya Adriana Mohd. Helmie dan Darwisya Sophia Mohd. Helmie merupakan antara 266 murid tahun satu SK Putrajaya Presint 11 (1).

Menurut ibu mereka, Norlizawaty Baharin, 33, berkata, kedua-dua perempuannya diletakkan dalam kelas yang sama agar mereka tidak berasa janggal.

“Alhamdulillah, mereka sangat gembira dan tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran hari ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya, Roaini Jaafar turut meninjau hari pertama sekolah tersebut. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/video-upin-ipin-pikachu-tambah-keceriaan-murid-tahun-satu-1.583245

Gambar: UTUSAN ONLINE


'Kami Idam Pingat Emas'

Sepang: Pasukan Pancaragam Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru bertekad untuk membawa pulang pingat emas pada Pertandingan Grand Prix Marching Band kali ke-23 bermula esok di Jakarta, Indonesia. 

Ketua Guru Penasihat Pasukan Pancaragam STF Reeza Haida Miskam berkata, pihaknya berbangga apabila pasukan STF menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang dapat menyertai pertandingan berkenaan.

“Ini kali pertama STF bertanding di peringkat antarabangsa dan pertandingan ini bakal menjadi penanda aras baru kepada pasukan STF.

“Sudah semestinya harapan kami sangat tinggi untuk mengharumkan nama negara dengan merangkul pingat emas dan menjuarai pertandingan ini,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Katanya, pasukan yang terdiri daripada 58 pelajar itu bakal bersaing selama dua hari dengan 16 pasukan pancaragam lain dari Indonesia.

“Terima kasih kepada sumbangan dan sokongan pelbagai pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ibu bapa dan alumni STF yang banyak membantu sehingga pasukan ini mampu bertanding ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Tun Fatimah, Saiful Yazan Sulaiman berkata, pihaknya bertungkus lumus dalam mengumpul dana untuk menampung kos perbelanjaan sejak Ogos lalu.

PASUKAN Pancaragam Sekolah Tun Fatimah bergambar sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia dari KLIA bagi menyertai Pertandingan Grand Prix Marching Band kali ke-23, semalam.

“STF sudah lama menyimpan hasrat untuk bertanding di luar negara namun, kita mempunyai kekangan dari segi dana dan peralatan.

“Alhamdulillah, kali ini kita berjaya mengumpul dana berkenaan dan melalui kutipan itu juga kita dapat menukar 60 peratus peralatan muzik baru yang akan digunakan sepanjang pertandingan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pasukan Pancaragam STF Esty Farrah Musa berkata, kumpulan yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima itu sudah membuat persiapan terbaik untuk pertandingan berkenaan sejak enam bulan lalu.

“Pasukan ini akan membawa tema Spirit of Asia dalam mempromosikan negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, China dan Jepun menerusi gabungan muzik orkestra dan pancaragam mereka.

“Keistimewaan yang ada pada pasukan ini adalah mereka akan membuat persembahan orkestra dan pancaragam yang mana bukan semua kumpulan bertanding mempunyai kelainan seperti itu,” katanya.

Pasukan itu menjalani sesi latihan selama enam bulan itu tanpa mengganggu tumpuan dalam bidang akademik kerana mereka hanya berlatih selepas tamat sesi persekolahan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/12/297473/kami-idam-pingat-emas-metrotv

Gambar: myMetro


Falsafah Pendidikan Kebangsaan Teras Transformasi

PENGUMUMAN yang dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin, mengenai tidak perlu mengasingkan kelas berdasarkan keputusan peperiksaan murid datang tepat pada masanya selepas mengambil langkah tegas untuk melaksanakan Pelaporan Pencapaian Sekolah Rendah (PPSR) baru-baru ini.  Begitu juga arahan yang selari  dengan perubahan tersebut telah diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk tidak lagi mewujudkan sekolah kawalan di negeri masing-masing.

Pengasingan kelas mengikut pencapaian murid dalam akademik ini telah lama wujud dalam sistem pendidikan formal di mana-mana negara dalam dunia sejak zaman dahulu lagi.  Cara ini memudahkan guru memberikan fokus kepada peningkatan pencapaian murid berdasarkan tahap kompetensi murid yang telah dikenal pasti melalui ujian berbentuk diagnostik, atau perkataan mudahnya peperiksaan.  Namun begitu peperiksaan ini adalah berdasarkan pentaksiran yang memberi fokus kepada aspek intelektual sahaja, tanpa mengambil kira kemampuan murid dari segi jasmani, emosi dan rohani.

Dalam usaha Kementerian Pendidikan Malaysia mentransformasi sistem pendidikan negara di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, langkah yang diumumkan ini sebenarnya adalah selari dengan Enam Aspirasi Murid yang perlu diterapkan kepada semua anak-anak yang melalui pendidikan kebangsaan.  Enam Aspirasi Murid ini – pengetahuan, kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional ini adalah menjurus kepada kemahiran yang diperlukan dalam abad ke 21 seperti yang telah digariskan oleh Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) dalam Future of Jobs Report yang meletakkan kemahiran berfikir aras tinggi dan hubungan manusia sebagai kemahiran yang penting dalam dunia pekerjaan.

Bagi memupuk kemahiran yang  perlu bagi anak-anak kira mendepani cabaran masa hadapan ini, sistem pendidikan kita tidak boleh tidak berubah.  Memberi fokus kepada pencapaian akademik semata-mata adalah cara yang sesuai sekiranya anak-anak kita bekerja pada tahun 50an atau 60an, di mana dunia ketika itu memerlukan lebih ramai golongan pemikir untuk membangunkan dunia selepas Perang Dunia Kedua.   Namun begitu zaman sudah banyak berubah; ilmu sudah berada di hujung jari dan manusia perlu bersaing dengan Artificial Intelligence (AI) dalam era Revolusi Industri 4.0 ini.   Dalam keadaan ini anak-anak kita yang bakal menjadi pemimpin dan pekerja global di masa akan datan perlu dipupuk dengan etika dan kerohanian supaya mereka tidak hanyut dalam arus deras kemajuan global.

Langkah untuk tidak mengasingkan murid berdasarkan pencapaian akademik semata-mata adalah amat wajar bagi menyediakan anak-anak warganegara untuk masa hadapan mereka sebagaimana yang direncanakan dalam PPPM 2013-2025.  Begitu juga dengan sekolah kawalan yang hanya memilih murid terbaik akademiknya sahaja; sekolah begini sudah tidak relevan dalam era pendidikan global sekarang.  Sebenarnya langkah ini sudahpun dimaktubkan dalam PPPM 2013-2025; mungkin ramai warga pendidik yang tidak berpeluang untuk menghadam kandungan naskhah tebal lebih 300 muka surat ini.

Untuk makluman umum,  Datuk Dr Amin Senin iaitu KPPM sekarang merupakan Ketua Pejabat Pengurusan Projek (PMO) yang bertanggungjawab untuk membangunkan PPPM 2013-2025.  Beliau merupakan individu yang menggerakkan usaha mendapatkan maklum balas mengenai sistem pendidikan negara ketika Dialog Nasional Pendidikan Negara diadakan pada tahun 2012, justeru beliau amat memahami dasar dan inisiatif pendidikan yang bakal meletakkan Malaysia di antara sepertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.

Ketika PPPM 2013-2025 dibangunkan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sentiasa dirujuk kerana falsafah ini lah yang telah menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara.  Sekiranya dihayati bait pertama FPK ini, jelas bahawa kompetensi individu harus dipupuk secara holistik dan konsisten bagi memastikan anak-anak kita menjadi insan yang harmonis:

  • Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Selaras dengan usaha untuk menyediakan anak-anak kita dengan cabaran global, kita perlu mengubah pendekatan pendidikan daripada berorientasikan akademik kepada pemupukan nilai berbentuk sejagat kerana FPK telah menetapkan matlamat berikut:

  • Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Ternyata usaha ini bukan satu usaha yang mudah.  Warga pendidik perlu keluar daripada zon selesa dan rutin cara kerja yang biasa kepada yang luar daripada kebiasaan bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran dalam komuniti.  Pendidikan anak-anak dalam abad ke 21 ini amat memerlukan pelibatan aktif ibu bapa dan masyarakat serta sokongan bersepadu daripada pihak berkepentingan yang lain demi masa hadapan negara yang lebih gemilang.  Jadikan 2018 ini sebagai satu era baharu dalam mengubah cara bekerja dan memberikan fokus kepada kemenjadian murid itu sendiri.

Sumber: http://m.utusan.com.my/rencana/falsafah-pendidikan-kebangsaan-teras-transformasi-1.579961#.WkMxfVdGg9g.twitter


Bagus Akademik, Bagus Moral

Putrajaya: Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) di bawah Kementerian Pendidikan akan memfokuskan kepada pelaksanaan inisiatif pembangunan insan, nilai dan sahsiah murid di seluruh negara tahun depan sebagai satu daripada usaha menangani masalah dan isu sosial dalam kalangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khadijah Abdullah berkata, pihaknya sudah berbincang lanjut mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan beberapa bahagian di kementerian, badan bukan kerajaan (NGO) dan guru.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menganjurkan bengkel khusus akhir bulan ini membabitkan penyertaan guru, murid, NGO dan warga kementerian bagi membincangkan masalah serta isu sosial yang berlaku di sekolah buat masa ini termasuk kes buli dan gengsterisme.

“Hasil perbincangan di bengkel berkenaan akan dibentangkan kepada kementerian awal tahun depan termasuk rangkaian aktiviti berkaitan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Kami tidak mahu murid berjaya dalam akademik saja sebaliknya mahu mereka mempunyai nilai dan sahsiah diri yang dikehendaki kementerian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, inisiatif pembangunan insan, nilai dan sahsiah itu adalah sebahagian usaha kementerian untuk melihat kemenjadian murid secara keseluruhannya dan bukan hanya melahirkan murid cemerlang dari segi akademik semata-mata.

Dalam pada itu, Khadijah berkata, sebanyak 20 inisiatif utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dilaksanakan sepanjang tahun ini termasuk Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Inggeris, Pemartaban Pendidikan Bahasa Melayu, Pembangunan Repositori Data Pendidikan dan Peluasan Penggunaan Dashboard, Program Transformasi Daerah, Peningkatan Akses Daripada Peringkat Prasekolah Hingga Menengah Atas dan Penyediaan Infrastruktur Asas di Semua Sekolah.

Dalam pada itu, Khadijah berkata, PPPM terus mendapat pengiktirafan dunia apabila meraih Anugerah Pengurusan Projek (APM) Mike Nichols untuk Inspirasi 2017 dalam satu majlis berprestij di United Kingdom November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:13 AM

Sumber: https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/12/291829/bagus-akademik-bagus-moral

Gambar: myMetro


UPSR: Tiada Lagi Pengumuman Calon Paling Banyak 'A'

PELAPORAN Pentaksiran Sekolah Rendah yang akan diumumkan Khamis ini, bukan berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata, sebaliknya turut membabitkan tiga komponen lain dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Berbeza berbanding tahun sebelum ini, keputusan UPSR 2017 akan mengambil kira pentaksiran bilik darjah (PBD); pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) serta pentaksiran psikometrik (PPsi).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, pelaporan itu tidak hanya mengambil kira banyak mana calon mendapat A dalam semua subjek, tetapi tiga komponen berkenaan turut diambil kira untuk melihat pencapaian murid secara keseluruhan.

"Setiap murid adalah unik, kita cuba untuk 'memanusiakan' murid hingga mencapai tahap penguasaan yang minimum, jadi sudah tiba masanya untuk kita supaya tidak lagi menumpukan kepada kecemerlangan murid berdasarkan keputusan akademik, tetapi pencapaian mereka secara holistik sebagai seorang insan.

"Selain akademik, perkara lebih penting adalah pembangunan karektor, kemenjadian murid dan menyediakan persekitaran pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang menyeronokkan," katanya pada sesi taklimat kepada media berhubung pengumuman keputusan UPSR 2017 di Putrajaya, hari ini.

Amin berkata, kementerian percaya pembelajaran yang menyeronokkan juga membolehkan guru mengajar dalam keadaan tanpa tekanan, sekali gus mampu melahirkan murid lebih cemerlang.

Menurutnya, pada hari keputusan diumumkan guru akan memberi penerangan lanjut berhubung pencapaian anak mereka dalam akademik dan pentaksiran yang dilakukan sepanjang enam tahun di peringkat sekolah rendah.

Menerusi PBD, pentaksiran dilaksanakan semasa PdP dengan merujuk kepada dokumen standard Kurikulum dan Pentaksiran (DKSP) untuk melihat tahap penguasaan pembelajaran murid.

Tujuan pentaksiran dibuat untuk pembelajaran, sebagai pembelajaran dan mengenai pembelajaran menggunakan pelbagai jenis instrumen.

Sementara, melalui PAJSK murid ditaksir melalui SEGAK- Standard Kecergasan Fizikal bagi mengukur tahap kecergasan; Indeks Jisim Badan (BMI)- bagi merekod tinggi dan berat badan sebagai satu indikator kesihatan; Sukan-penyertaan sukan dan pencapaian sukan di sekolah, daerah, negeri, negara dan antarabangsa.

Murid juga ditaksir dalam Kokurikulum- penyertaan dan pencapaian dalam persatuan, unit beruniform dalam persatuan, unit beruniform di peringkat sekolah, negeri, negara dan antarabangsa, manakala ekstrakurikulum- penyertaan secara sukarela dalam dan luar negara di sekolah serta di dalam dan luar negara.

Menerusi pentaksiran PPsi dibuat untuk melihat kecenderungan murid dalam bidang yang diminati untuk murid arus perdana, manakala Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas untuk mengukur pencapaian murid melalui pendekatan pentaksiran bersepadu dalam situasi sebenar keperluan murid.

Gambar: Harian Metro Online

PADU Terima Anugerah Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Kementerian Pendidikan memenangi Anugerah Pengurusan Projek (APM) Mike Nichols untuk Inspirasi 2017 di London, semalam.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, PADU mengetepikan pesaing syarikat multinasional global termasuk Royal Dutch Plc,  Kumpulan Perbankan Lloyds, Rolls Royce, BAC Systems dan Fujitsu.

Panel memaklumkan pemilihan PADU sebagai pemenang kategori Mike Nichols berikutan kecemerlangan menguruskan pelaksanaan agenda transformasi besar-besaran pendidikan  negara.

Unit itu sebagai agensi yang ditubuhkan bagi menyokong KPM dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025  yang diiktiraf memberi kesan terhadap transformasi pendidikan negara.

Pemilihannya sebagai penerima anugerah kerana pengiktirafan untuk visi, inovasi dan diakui dalam menyampaikan perubahan transformasi dalam pendidikan seterusnya memberi kesan positif yang berpanjangan demi kepentingan masyarakat.

Anugerah diterima  Ketua Pegawai Eksekutif PADU,  Khadijah Abdullah.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata pelan pendidikan itu adalah dokumen kebangsaan yang diiktiraf badan terkenal dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Organisasi Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan dihormati serta digunakan sebagai rujukan banyak negara.

Katanya, anugerah daripada APM, United Kingdom (UK) adalah bukti bahawa pelaksanaan PPPM  2013-2025 berada di landasan yang betul.

"Kami juga berterima kasih atas sokongan berterusan daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyumbang kepada anugerah ini," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/11/353714/padu-terima-anugerah-antarabangsa