Tambah baik program untuk jamin kebolehpasaran pelatih KV

Tambah baik program untuk jamin kebolehpasaran pelatih KV

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan menambah baik program yang ditawarkan di Kolej Vokasional (KV) dikendalikan kementerian bagi memastikan setiap program memperoleh akreditasi yang sewajarnya, melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran pelatih.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata selepas tujuh tahun program peringkat Diploma Kolej Vokasional diperkenalkan, sudah tiba masanya program yang ditawarkan di KV memberi keutamaan kepada standard pendidikan yang tinggi selaras dengan hasrat melahirkan pelatih yang berkualiti tinggi.

Beliau berkata, langkah-langkah penambahbaikan ini sudah dibincang dan diberi pertimbangan mendalam sejak Mei tahun lalu, malah ia sudah melalui siri perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh.

“Kementerian juga sudah mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan pelajar-pelajar serta pihak industri mengenai program yang ditawarkan di KV.

“Majoriti pemegang taruh menyambut baik hasrat KPM untuk membawa penambahbaikan yang relevan demi kepentingan pelajar dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, langkah penambahbaikan ini diambil selari dengan syor dan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pemegang taruh termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Amin berkata, tanggapan atau dakwaan sesetengah pihak bahawa program tertentu sudah ditutup atau dihentikan adalah tidak tepat sama sekali.

Sebaliknya, tambah beliau, program berkenaan ditangguh untuk sementara waktu bagi tujuan semakan semula kurikulum demi memenuhi keperluan akreditasi MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Ia bagi memastikan program yang ditawarkan adalah program yang bermutu dan berkualiti serta dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi bagi memenuhi permintaan industri.

“Adalah menjadi hasrat kementerian untuk memastikan persijilan dan piawaian industri dipatuhi serta dijadikan rujukan utama dari aspek kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan penambahbaikan kurikulum,” katanya.

Kementerian Pendidikan melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional pada tahun 2012, dengan menyediakan program peringkat Diploma, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi peluang kepada murid yang mempunyai kecenderungan dalam bidang kemahiran dan teknologi untuk memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri negara.

Sistem Pendidikan Vokasional yang disediakan adalah berkualiti menerusi penyelarasan dasar pengoperasian, pembangunan prasarana fizikal dan penyediaan fasiliti serta program pengurusan akademik yang terancang dan berkesan untuk kemenjadian murid.

Ia turut bermanfaat untuk pengurusan sumber manusia, kewangan, pentadbiran dan hal ehwal murid yang berkesan, dan pembangunan profesionalisme berterusan yang terancang untuk guru serta pegawai.

Kementerian menetapkan sasaran menyediakan 70 peratus pelajar sebagai tenaga mahir untuk bekerja di industri manakala, 20 peratus lagi menyambung pengajian dan baki 10 peratus untuk menjadi usahawan.

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/01/524694/tambah-baik-program-untuk-jamin-kebolehpasaran-pelatih-kv
Gambar: NSTP