SMK Tanjung Datuk Rangkul Pinggat Emas dan Anugerah Khas Pertandingan Ciptaan dan Reka Bentuk Antarabangsa

SMK Tanjung Datuk Rangkul Pinggat Emas dan Anugerah Khas Pertandingan Ciptaan dan Reka Bentuk Antarabangsa

KOTA TINGGI: Berbekalkan produk inovasi alat penapis sisa makanan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Datuk, Pengerang di sini, berjaya membawa pulang Anugerah Gold Medal dan Anugerah Khas sempena Pertandingan Ciptaan dan Reka Bentuk Antarabangsa di Hong Kong (Hong Kong IIDC 2018).

Dengan kejayaan pada pertandingan yang membabitkan kira-kira 160 penyertaan dari Jepun, Russia, Indonesia, Maghribi, Thailand, Taiwan, China dan Hong Kong, SMK Tanjung Datuk, Pengerang berjaya mengharumkan nama negara.

Dengan nama produk ‘An Apparatus For Treating Emulsion’ (FWF-EM), hasil rekaan empat pelajar, Fitri Hanani Azlen, 16; G Bavanee, 15; serta Sim Sau Yang dan Lim Wei Zhe masing-masing 17 tahun, itu berjaya menambat hati juri dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong, Hong Kong, pada 4 hingga 7 Disember lalu.

Pasukan itu turut disertai tiga kru atau pelajar pembantu, tujuh guru pengiring dan seorang kakitangan sekolah.

Menurut Pengurus Pasukan, Latifah Saat, FWF-EM adalah sejenis alat penapis sisa makanan dari sinki yang direka untuk menyelesaikan masalah penjagaan pembersihan penapis itu daripada enapan sisa makanan dan minyak yang mana ia bagi mengelak sisa makanan terus dibuang ke longkang.

“Produk ini dihasilkan dengan gabungan penggunaan rawatan kultur ‘Effective Microotganism’ (EM).

“Objektif utama projek ini adalah untuk mengurangkan masalah alam sekitar terutamanya pencemaran air, selain untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengendali makanan seperti kedai makan, hotel atau restoran dan juga rumah tentang kepentingan memelihara alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, alat penapis itu direka dan dibina daripada bekas persegi plastik dengan beberapa komponen penyekat di dalamnya yang bertindak sebagai dinding penghadang bagi melambatkan pengaliran air sisa makanan di dalam penapis.

Katanya, ia membolehkan rawatan kultur EM bertindak dengan berkesan bagi merawat sisa lemak dan kotoran sebelum dialirkan keluar dan sisa makanan yang terperangkap dalam bekas penapis itu dirawat untuk dijadikan baja.

“Alat penapis ini dipasang di sinki dekat lima lokasi berbeza sejak tahun 2011 sehingga kini dan ia juga akan digunakan oleh sebuah institusi di Selangor untuk dipasang di masjid sekitar negeri itu pada tahun depan.

“Data projek sudah dikumpulkan dan diuji melalui ujian BOD dan nilai pH pada air buangan di longkang yang mana sebelum pemasangan penapis FWF- EM, terdapat banyak sisa makanan dan minyak dalam longkang dan ujian BOD serta pH juga menunjukkan kualiti air longkang yang teruk iaitu tahap pencemaran yang tinggi.

“Namun, selepas pemasangan FWF-EM, didapati longkang bebas daripada sisa makanan dan enapan minyak dan ujian BOD serta pH menunjukkan tahap kualiti air longkang bertambah baik iaitu tahap pencemaran air berkurangan,” katanya.

Menurut Latifah, manfaat daripada projek itu adalah untuk menghapuskan sisa makanan mentah di saliran, membantu untuk mengurangkan pencemaran air, membantu untuk menyelamatkan hidupan akuatik dan membantu untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai alam sekitar.

Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/12/514490/smk-tanjung-datuk-di-pengerang-harumkan-nama-negara
Gambar: BH Online