Malaysia juara World Robot Olympiad (WRO) ke-15

Malaysia juara World Robot Olympiad (WRO) ke-15

SEPANG: Kontinjen negara muncul juara keseluruhan Kejohanan World Robot Olympiad (WRO) ke-15 di Chiangmai, Thailand, menewaskan 486 pasukan dari 63 negara.

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad, berkata ia susulan kejayaan memenangi tiga pingat emas, satu gangsa dan empat anugerah kecemerlangan.

Beliau berkata, sejak menyertainya mulai 2005, ia kejuaraan ketujuh dimenangi negara dalam tempoh 10 tahun.

“Kemenangan ini sangat membanggakan kerana kontinjen negara berjaya menebus kekecewaan dan merampas kembali gelaran selepas hanya muncul naib juara keseluruhan pada tahun lalu apabila tewas kepada pasukan dari Russia,” katanya ketika menyambut kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holdings Berhad, Law King Hui.

Dalam kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 18 November lalu, kontinjen Malaysia terdiri daripada 20 pasukan membabitkan 80 peserta bertanding dalam tujuh acara.

Tujuh pasukan yang bertanding itu adalah juara di peringkat kebangsaan yang diadakan kementerian dengan rakan strategiknya, Sasbadi sejak 2005.

Tiga pingat emas negara dimenangi pasukan Project Z- Hunger Terminator dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pin Hwa (1), Setia Alam, Selangor; SJKC Hua Lian (3) Taiping, Perak (HL3) dalam kategori terbuka sekolah rendah dan Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Bandar Penawar, Johor (Sakti Tiger) bagi kategori terbuka menengah rendah.

Pasukan Robotist dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Miri, Sarawak pula memenangi pingat gangsa kategori terbuka menengah rendah bola sepak.

Manakala empat pasukan terdiri daripada Sabah Tshung Tsin Secondary School (TTSS); Kuen Cheng High School dari Kuala Lumpur ( Kuen Cheng KL); SJKC Chung Kwok, Sentul, Kuala Lumpur ( I-Farmer) dan SMK Chung Hua, Miri, Sarawak (SMK Chung HuaMiri Robort Soccer 2 menerima Anugerah Kecemerlangan.

Rozainum berkata, tema tahun ini adalah ‘Food Matters’ berkaitan pertanian dan pasukan negara bersaing sengit dengan pasukan dari Russia dan Taiwan yang terkenal dengan kecanggihan inovasi teknologi semasanya.

“Pada tahun hadapan pasukan negara akan menyertai pertandingan di Hungary dan kita akan memastikan dapat mempertahankan kejuaraan ini dengan usaha keras semua pihak,” katanya.

 

Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/11/499944/malaysia-juara-wro-ke-15
Gambar: BH Online