Kaedah inovatif permainan catur tingkatkan minat murid Orang Asli

Kaedah inovatif permainan catur tingkatkan minat murid Orang Asli

ROMPIN: Sekolah Kebangsaan (SK) Buluh Nipis, dekat sini menjadikan catur lebih menarik selepas mencipta fenomena dengan menggalakkan murid Orang Asli di situ meminati permainan berkenaan.

Selain menumpukan kepada taktikal dalam corak permainan, guru sekolah berkenaan menghasilkan inovasi dengan mengubahsuai papan catur menjadi alat bantuan mengajar.

Guru Besar SK Buluh Nipis, Mohd Shari Muda, berkata memandangkan kebanyakan murid menggunakan kaedah congakan dengan jari dalam setiap pergerakan catur mereka, guru sekolah itu menerapkan kaedah ‘Caturmatik’ bagi menjadikan permainan itu lebih menarik.

“Setakat ini, kaedah ‘Caturmatik’ memberikan reaksi positif dalam kalangan murid yang sangat meminati permainan ini.

Penolong Pengarah Merangkap Ketua Unit Pengurusan Sekolah Rendah JPNP, Che Wan Mohd Amil Che Wan Sulaiman (duduk kiri) bermain catur ketika melawat bilik latihan untuk pelajar bermain carut selepas merasmikan Kejohanan Catur Komuniti Pelajar Orang Asli Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan Buluh Nipis (SeKeBuN), Muadzam Shah. – Foto Muhd Asyraf Sawal

“Ia berkaitan dengan pengiraan secara aritmetik dan sehingga kini, kira-kira 70 peratus murid sekolah ini sudah menguasai permainan catur.

“Kaedah ini merangkumi prinsip pengiraan asas membabitkan operasi tambah, tolak, bahagi dan darab… memang kita dapat lihat kemahiran murid meningkat, bukan sahaja dalam permainan catur, tapi turut menambah penguasaan mereka dalam Matematik,” katanya.

Mohd Shari berkata, sebanyak 10 set papan catur yang dimiliki sekolah itu sudah diubahsuai bagi menyesuaikannya dengan kaedah ‘Caturmatik’ diperkenalkan kepada mereka.

“Setiap kali mereka bermain, murid perlu melakukan pengiraan berdasarkan cetakan nombor yang terdapat pada papan catur terbabit.

“Murid perlu menulis nombor yang terdapat dalam setiap gerakan dibuat, mendarab nombor dan menambahnya dengan mencatat pada kertas berasingan.

“Pendekatan ini sangat berkesan dalam menguji kecekapan mereka melakukan gerakan, sambil menajamkan kemahiran mereka dalam subjek berkenaan,” katanya.

Pelajar bermain catur pada Kejohanan Catur Komuniti Pelajar Orang Asli Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan Buluh Nipis (SeKeBuN), Muadzam Shah. – Foto Muhd Asyraf Sawal

Murid Tahun Enam, Zahmiza Zin, 12, berkata, subjek Matematik adalah sangat mencabar dan inovasi dilakukan guru sekolah itu membantu mereka lebih meminati mata pelajaran berkenaan.

SK Buluh Nipis adalah sekolah Orang Asli yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Muadzam Shah, di sini, mula mendapat perhatian apabila beberapa murid sekolah itu muncul johan dalam pertandingan catur peringkat daerah dan negeri ini.

Dua murid sekolah itu turut mencuri perhatian apabila memenangi pingat emas pada Pertandingan Catur Peringkat Kumpulan Umur ASEAN Ke-18, selain turut memperoleh satu pingat perak dan dua gangsa.

 
Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/11/499302/kaedah-inovatif-permainan-catur-tingkatkan-minat-murid-orang-asli
Gambar: NST Online