Guru SK Cherang Ruku bantu bawa murid sakit duduki UPSR

Guru SK Cherang Ruku bantu bawa murid sakit duduki UPSR

PASIR PUTEH 24 Sept. – Jarak rumahnya dengan sekolah hanya satu kilometer, namun Muhammad Arif Muizzudin Amran, 12, yang patah kaki kerana terlibat dalam kemalangan baru-baru ini, berdepan kesukaran untuk ke sekolah dan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini..

Bagaimanapun, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku itu bertuah kerana para guru sekolah terbabit sepakat membantunya dengan menjemput dia ke sekolah setiap pagi dengan menaiki kereta mereka dan bersedia menghantarnya pulang ke rumah sepanjang UPSR berlangsung.

Guru Besar SK Cherang Ruku, Faxrurazi Nasir berkata, bapa kanak-kanak itu, Amran Awang yang berkhidmat di Markas Angkatan Tentera Malaysia di Kem Kementah, Kuala Lumpur tidak dapat pulang ke Kelantan dan memohon ihsan pihak sekolah supaya membantu anaknya.

“Kami membantu berasaskan kepada konsep kebersamaan tanggungjawab para dan ibu bapa dalam memastikan keperluan murid dalam hal pendidikan dipenuhi. Bantuan ini juga sejajar dengan Program Penyayang yang dilaksanakan pihak SK Cherang Ruku,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengiringi Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Harun Yusof melawat pusat peperiksaan SK Cherang Ruku, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Harun meminta pihak pengurusan menyediakan meja lebih besar khusus untuk murid tersebut sepanjang UPSR ini bagi membolehkan dia menjawab soalan dalam keadaan lebih selesa.

Sepanjang berada di sekolah pula, Muhammad Arif Muizzudin bergerak menggunakan kerusi roda milik keluarga bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Cherang Ruku, Muhammad Ibrahim.

“Kita berterima kasih kepada Ayah Mat (Muhammad Ibrahim) kerana prihatin serta sanggup membawa kerusi roda keluarga sendiri demi keselesaan murid ini. Jasa beliau dalam PIBG SK Cherang Ruku yang mencecah hampir 30 tahun amat dihargai,” kata Faxrurazi.

Menurut Faxrurazi, antara pengorbanan lain dibuat para guru sekolah itu ialah menunaikan tanggungjawab sosial menyediakan sarapan pagi percuma kepada calon UPSR setiap hari.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/guru-sk-cherang-ruku-bantu-bawa-murid-sakit-duduki-upsr-1.753615#ixzz5S5lIAGk1 
Gambar: Utusan Online

Contact Us

Education Performance and Delivery Unit (PADU)
Level 3, Block E9, Complex E Precint 1
Federal Government Administrative Centre
62604 Putrajaya
Malaysia

03-88881001

03-88881146

info@padu.edu.my