Langkah strategik kembang PAK21

Langkah strategik kembang PAK21

JOHOR BAHRU – Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 diyakini mampu menjadi pemacu dalam meningkatkan kesedaran dan kepentingan  ekosistem alam sekitar sihat dalam kalangan pelajar.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata,  usaha itu dilihat sebagai langkah strategik memperkembangkan pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (Stem) dan pembelajaran abad ke- 21 (PAK21) sebagai karakter pendidikan Johor.

“Melalui proses pembangunan potensi yang holistik dan komprehensif,  kita mampu melahirkan modal insan kelas pertama di sekolah-sekolah di negeri Johor.

“Pendidikan alam sekitar hendaklah dihayati bagi membolehkan  anak didik kita iaitu generasi yang akan mentadbir negara suatu hari  nanti dapat menjadi sebahagian penyelesaian kepada masalah utama dunia.

“Seterusnya anak didik kita ini boleh bergerak secara proaktif dan produktif bagi meningkatkan kualiti kehidupan  dan nilai murni tanpa membawa kerosakan kepada  alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Seminar dan  Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Engku Tun Aminah, di sini, semalam.

Aminolhuda berkata, Johor menerajui PAK21 sejak beberapa tahun lepas bertujuan menyediakan anak didik di negeri ini menghadapi cabaran masa akan datang. 

Sumber: https://www.karangkraf.com/gps-bestari/langkah-strategik-kembang-pak21-1.921535
Gambar: GPS Bestari