MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2017 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2017 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025

Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sejak tahun 2013 bertujuan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara setanding dengan negara maju. Pada hari ini, YB Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia telah melancarkan Laporan Tahunan 2017 yang memaklumkan mengenai status kemajuan inisiatif pendidikan di bawah PPPM pada tahun 2017. Majlis ini telah dihadiri oleh kira-kira 500 orang peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi Kementerian, Ketua-ketua Jabatan, pengetua dan guru besar, guru serta para jemputan luar.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerbitkan Laporan Tahunan pada setiap tahun semenjak pelaksanaan PPPM pada tahun 2013. Proses transformasi sistem pendidikan negara telah direncanakan bagi tempoh 13 tahun dan dilaksanakan melalui tiga fasa atau gelombang. Gelombang 1 (2013-2015) PPPM telah meletakkan asas kepada permulaan proses transformasi pendidikan, iaitu mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama. Kini pelaksanaan PPPM sedang berada di Gelombang 2 (2016-2020) untuk memacu peningkatan sistem pendidikan bertitik tolak daripada kejayaan yang telah dicapai dalam Gelombang 1. Pada Gelombang 3 (2021-2025), Kementerian Pendidikan Malaysia berharap sistem pendidikan negara dan seluruh jentera pentadbiran pendidikan daripada peringkat pusat sehingga peringkat sekolah telah menukar corak dan rentak kerja yang lebih cekap untuk terus menganjak ke arah kecemerlangan melalui peningkatan keluwesan operasi. Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri  diharapkan dapat membangunkan intervensi pendidikan berasaskan keperluan di sekolah, daerah dan negeri masing-masing untuk meningkatkan pencapaian murid.

Matlamat utama penerbitan Laporan Tahunan 2017 ialah memaklumkan kepada umum mengenai perkembangan pelaksanaan inisiatif pendidikan yang telah dirancang pada tahun tersebut. Pelaksanaan inisiatif pendidikan yang diberikan tumpuan ke arah transformasi sistem pendidikan telah dikelompokkan kepada lima teras utama transformasi, iaitu meningkatkan Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan dalam pendidikan.

Penerbitan Laporan Tahunan ini ialah satu daripada kaedah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan PPPM selari dengan Anjakan 11 dalam PPPM yang menekankan kepentingan meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung. Melalui pelaporan telus yang menunjukkan kejayaan dan kelemahan pelaksanaan inisiatif, Kementerian membuka ruang dan peluang kepada pihak awam untuk turut bersama-sama menyumbang idea, dan memberi sokongan dan bantuan ke arah peningkatan kualiti sistem pendidikan negara.