News

Jan 6, 2018
  • Share

126 Lagi Sekolah Laksana DLP

no image

PADANG TERAP 5 Jan. – Kementerian Pendidikan bersetuju memberi kelulusan tambahan kepada 126 buah sekolah di seluruh negara bagi melaksanakan program dwibahasa (DLP).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu bermakna pihak­nya telah meluluskan kesemua permohonan 214 permohonan baharu bagi melaksanakan program tersebut, tahun ini.

“Sebelum ini kami hanya meluluskan permohonan tambahan untuk 88 sekolah sahaja. Namun setelah membuat pertimbangan semula, hari ini saya umumkan bahawa kesemua 214 sekolah yang telah membuat permohonan kepada kami pada Disember lalu, dibenarkan untuk melaksanakannya tahun ini.

“Penelitian kami mendapati, kegagalan 126 sekolah itu sebelum ini hanya berpunca daripada masalah teknikal. Kami ya­kin perkara itu dapat mereka atasi dan kementerian tidak mempunyai masalah untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan terhadap keluarga veteran UMNO di kawasan ini, Md. Zain Saad yang meninggal dunia minggu lalu di Perumahan Awam Kampung Baru, Kuala Nerang di sini, hari ini.

Pertambahan itu melibatkan 85 sekolah kebangsaan (SK) dan 41 sekolah menengah kebangsaan (SMK). Setakat ini, seramai 200,000 pelajar telah pun mengikuti program tersebut di 1,215 sekolah yang telah melaksanakannya secara berperingkat sejak 2016.

Mengulas keraguan sesete­ngah pihak mengenai jumlah guru yang mampu mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dengan baik ekoran pertambahan kelulusan yang agak banyak, Mahdzir menjelaskan, kementerian sememangnya mempunyai jumlah guru yang mencukupi untuk menjalankan amanah tersebut.

“Kita yakin guru-guru lepasan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) mampu menggalas tanggungjawab itu kerana saya lihat mereka ini sememangnya memenuhi kriteria ditetapkan.

“Kalau ada dalam kalangan sekolah yang tidak cukup guru, kementerian boleh tambah. Tak ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, kementerian menerima reaksi yang cukup baik daripada ibu bapa berhubung pelaksa­naan program berkenaan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/126-lagi-sekolah-laksana-dlp-1.585342

Gambar: Utusan Online