News

Nov 22, 2017
  • Share

UPSR: Laporan Empat Komponen

no image

PUTRAJAYA: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang akan diumumkan Khamis ini tidak hanya menumpukan kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017, sebaliknya turut membabitkan tiga komponen lain.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata selain pencapaian akademik menerusi UPSR, tiga komponen lain ialah pentaksiran bilik darjah; pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik.

Beliau berkata, keputusan tidak lagi membabitkan jumlah calon UPSR memperoleh A dalam semua subjek, tetapi turut mengambil kira komponen lain.

Katanya, setiap murid memiliki keunikan tersendiri dan tidak semata-mata jumlah mereka meraih A dalam peperiksaan yang diduduki.

"Sudah tiba masanya, kita tidak lagi memfokuskan kecemerlangan seseorang murid itu berdasarkan keputusan peperiksaan, tetapi melihat pencapaian mereka secara holistik sebagai seorang insan.

"Selain pencapaian akademik, yang lebih penting adalah pembangunan karektor, memperkasa pendidikan sejati dan menyediakan sesi pengajaran serta pembelajaran yang menyeronokkan" katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung pengumuman keputusan UPSR 2017 di sini, hari ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/11/353593/upsr-laporan-empat-komponen

Gambar: Berita Harian Online