News

Nov 16, 2017
  • Share

Potensi Cerah TVET Malaysia

no image

KUALA LANGAT - Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijenamakan semula sebagai TVET Malaysia dilihat mampu mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Luar Bandar Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, TVET Malaysia perlu diuar-uarkan kepada masyarakat memandangkan ia mampu menjana ekonomi.

“Dulu kemahiran dalam teknikal dan vokasional dilihat sebagai pendidikan kelas kedua hingga menyebabkan ramai yang memilih untuk belajar daripada pengalaman semata-mata.

“Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha menjadikan kemahiran TVET Malaysia sebagai elemen utama memperkasakan rakyat serta memajukan negara ke tahap lebih tinggi," katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Program Touch Point Kolej Komuniti Selayang bersama warga Sijangkang baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Selayang, Abdul Razak Sabtu.

Sulaiman berkata, pelajar-pelajar dalam bidang kemahiran perlu mengambil peluang dan berlumba-lumba menjadi pencipta kerja bukannya menjadi pekerja selama-lamanya.

Katanya, kerajaan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membina kolej komuniti, institut kemahiran belia negara dan pusat Giat Mara bukan sebagai tempat terakhir untuk mencari ilmu tetapi sebagai titik permulaan untuk menuntut ilmu TVET.

“Saya harap pelajar-pelajar Kolej Komuniti Selayang bercita-cita menjadi majikan dan bukannya menjadi budak suruhan hingga pencen," katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kampus/potensi-cerah-tvet-malaysia-1.757901

Gambar: Sinar Online