News

Nov 16, 2017
  • Share

Bina Jati Diri Murid

no image

HULU SELANGOR - Pasukan beruniform antara platfom terbaik untuk mempertingkatkan jati diri dan menerapkan keberanian dalam kalangan murid seawal peringkat sekolah rendah.                            

Perkhemahan yang merupakan aktiviti wajib sesebuah pasukan beruniform memberi impak positif terhadap usaha tersebut, selain mengasah kemahiran hidup seseorang murid. 

Perkhemahan Unit Beruniform Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu 2 (SKKKB2) yang melibatkan 50 murid turut membabitkan pengisian aktiviti kerohanian dan kebudayaan bagi mengimbangi sahsiah diri. 

Penyelaras program, Zarina Abd Ghafar berkata, peserta terdiri daripada murid darjah tiga hingga lima dari uniform TKRS, BBSM, Pengakap Kanak-Kanak dan Pandu Puteri Tunas. 

“Melentur buluh biar dari rebungnya...perkhemahan sememangnya memberi banyak faedah kerana diisi dengan pelbagai aktiviti melibatkan kerjasama kumpulan, kreativiti murid dan kerohanian seperti solat berjemaah, tazkirah dan kuliah Subuh,” katanya. 

Kem Komandan, Fakhruzzaman Ramli berkata, perkhemahan membentuk keperibadian murid sebagai pemimpin dan melakukan sesuatu tugasan secara berpasukan melalui perkongsian idea serta pandangan. 

Rentas sungai menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.

“Bukan mudah...namun aktiviti yang dijalankan berjaya menerap nilai murni serta  memupuk sikap bertanggungjawab pada diri, keluarga dan orang di sekeliling,” katanya. 

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG SKKKB2 Zuraimi Mazlan berkata, terdapat ibu bapa yang terlibat sebagai sukarelawan sepanjang perkhemahan itu bagi membantu jurulatih dari Pusat Kokurikulum Ampang Pecah selain sokongan daripada Pejabat Kesihatan Serendah yang mengendalikan sesi senamrobik secara sukarela. 

Majlis perasmian perkhemahan itu disempurnakan Pengurus Akademi Memandu P S Samy, manakala penutup oleh Pengurus Yayasan Dato Mohd Isa (DMI), Datuk Mohd Isa Abu Kassim.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/gps-bestari/bina-jati-diri-murid-1.757894

Gambar: Sinar Online