News

Jun 13, 2017
  • Share

Khazanah Ajak Korporat Sokong Program Sekolah Amanah

KUALA LUMPUR 12 Jun – Khaza­nah Nasional Berhad (Khazanah) melalui Yayasan AMIR mengajak syarikat-syarikat korporat serta badan tidak berasaskan keuntu­ngan menyumbang kepada masyarakat atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Sekolah Amanah.

Khazanah dalam satu kenyataan memberitahu, program Sekolah Amanah yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan beberapa buah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) diwujudkan bagi meningkatkan kualiti pendidikan menerusi penambahbaikan bagi membangunkan potensi pelajar.

Menurutnya, selain Khaza­nah, setakat ini Yayasan Hasa­nah; Yayasan Daya Diri Sdn. Bhd.; Westports Malaysia Sdn. Bhd.; UEM Group Bhd.; Petroliam Nasional Bhd. (Petronas); Yayasan Pahang dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tampil me­nyalurkan dana serta menyokong usaha tersebut.

“Bermula dengan 10 buah sekolah pada 2010, kerjasama awam-swasta yang dijalinkan antara Yayasan AMIR kini terdapat 83 buah Sekolah Amanah di 10 buah negeri seluruh negara yang melibatkan 4,670 tenaga pengajar serta menyampaikan manfaat kepada kira-kira 65,000 orang pelajar.

 “Setelah kira-kira enam tahun pelaksanaannya, inisiatif Sekolah Amanah mula menunjukkan kemajuan yang ketara dalam dua aspek utama iaitu peningkatan dalam pencapaian peperiksaan umum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga pencapaian seluruh sekolah secara sejagat dari aspek kejayaan murid dan indeks pencapaian pengurusan sekolah,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada tahun 2015, Khazanah menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (Sukuk SRI) berjumlah RM100 juta yang bertujuan membiayai keperluan program Sekolah Amanah di bawah kelolaan Yayasan AMIR.

Jelasnya, pada tahun ini Khazanah bakal menerbitkan tranche kedua Sukuk SRI berjumlah RM100 juta bagi membiayai sekurang-kurangnya 20 buah lagi sekolah tambahan di bawah Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR.?

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/komuniti/khazanah-ajak-korporat-sokong-program-sekolah-amanah-1.492636