Events

Nov 29, 2017
  • Share

PADU Bersama-bersama Institut Aminuddin Baki Memperluaskan Minda Melalui Simposium

Start date: 27-11-2017 01:34, End date: 28-11-2017 01:34
  • no image
  • no image
  • no image

Petaling Jaya, 27 November 2017 - Simposium Institut Aminuddin Baki 2017 anjuran bersama Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dan Institut Aminuddin Baki (IAB), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung selama dua hari sehingga 28 November 2017 di Hotel Eastin, Petaling Jaya. Timbalan Menteri Pendidikan I, YB Dato’ P. Kamalanathan a/l Panchanathan telah merasmikan simposium tersebut. Ia dihadiri oleh 155 orang pensyarah IAB dari semua cawangan IAB di seluruh negara. 

Matlamat utama simposium ini adalah untuk menyediakan satu platform bagi peserta simposium iaitu pensyarah IAB memantapkan lagi pengetahuan mengenai kepemimpinan organisasi, khususnya kepimpinan pendidikan dan isu-isu semasa serta bertukar fikiran serta pandangan dengan barisan pembentang kertas kerja dan ahli forum yang terdiri daripada pemimpin sektor korporat. Melalui simposium itu juga, adalah diharapkan semua peserta dapat mengukuhkan lagi keterampilan sebagai jurulatih (trainer) kepada pemimpin pendidikan terutama pemimpin sekolah agar mereka ini secara langsung dapat memimpin warga sekolah ke arah menyediakan murid masa kini sebagai tenaga kerja masa hadapan yang kompetetif pada peringkat global.

Simposium ini memberikan fokus kepada tiga objektif utama iaitu meningkatkan kefahaman mengenai keperluan menyediakan pemimpin yang dinamik dalam ekosistem pendidikan; meningkatkan kefahaman mengenai peri pentingnya pemimpin sekolah memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berlaku dalam bilik darjah; dan memastikan bimbingan dan pementoran kepada pemimpin pendidikan  berimpak tinggi bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan. 

Sebanyak empat kertas pembentangan berkaitan dengan kepemimpinan dibentangkan dalam simposium ini. Para pembentang yang dijemput adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang profesion, iaitu YBhg. Prof Tan Sri Dato’ Dr Dzulkifli Abdul Razak, Pengerusi Kepempinan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Dato’ Hamidah Naziadin Group Chief People Officer dari CIMB, Puan Cheryl Lim Partner McKinsey and Company (Singapore) dan Puan Khadijah Abdullah, CEO PADU. 

Pensyarah IAB juga berpeluang untuk mendengar pandangan serta cadangan mengenai kepemimpinan dinamik daripada panel forum yang dijemput daripada pelbagai syarikat perunding seperti LeapEd, Korn Ferry HayGroup dan PricewaterhouseCoopers (PwC) serta agensi kerajaan seperti Akademi Sains Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Turut dijemput sebagai panel forum ialah YBhg. Tan Sri Dr Khair bin Mohamad Yusof, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Melalui percambahan ilmu dan pendapat, peserta simposium berupaya untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi membimbing pemimpin pendidikan pada peringkat sekolah, daerah dan negeri bagi melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran terkini serta bakat kepimpinan seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.