Events

Nov 22, 2017
  • Share

PADU Terima Anugerah Antarabangsa

Start date: 22-11-2017 02:46, End date: 22-11-2017 02:46
no image

KUALA LUMPUR: Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Kementerian Pendidikan memenangi Anugerah Pengurusan Projek (APM) Mike Nichols untuk Inspirasi 2017 di London, semalam.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, PADU mengetepikan pesaing syarikat multinasional global termasuk Royal Dutch Plc,  Kumpulan Perbankan Lloyds, Rolls Royce, BAC Systems dan Fujitsu.

Panel memaklumkan pemilihan PADU sebagai pemenang kategori Mike Nichols berikutan kecemerlangan menguruskan pelaksanaan agenda transformasi besar-besaran pendidikan  negara.

Unit itu sebagai agensi yang ditubuhkan bagi menyokong KPM dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025  yang diiktiraf memberi kesan terhadap transformasi pendidikan negara.

Pemilihannya sebagai penerima anugerah kerana pengiktirafan untuk visi, inovasi dan diakui dalam menyampaikan perubahan transformasi dalam pendidikan seterusnya memberi kesan positif yang berpanjangan demi kepentingan masyarakat.

Anugerah diterima  Ketua Pegawai Eksekutif PADU,  Khadijah Abdullah.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata pelan pendidikan itu adalah dokumen kebangsaan yang diiktiraf badan terkenal dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Organisasi Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan dihormati serta digunakan sebagai rujukan banyak negara.

Katanya, anugerah daripada APM, United Kingdom (UK) adalah bukti bahawa pelaksanaan PPPM  2013-2025 berada di landasan yang betul.

"Kami juga berterima kasih atas sokongan berterusan daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyumbang kepada anugerah ini," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/11/353714/padu-terima-anugerah-antarabangsa