Articles

Dec 29, 2017
  • Share

'Kami Idam Pingat Emas'

no image

Sepang: Pasukan Pancaragam Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru bertekad untuk membawa pulang pingat emas pada Pertandingan Grand Prix Marching Band kali ke-23 bermula esok di Jakarta, Indonesia. 

Ketua Guru Penasihat Pasukan Pancaragam STF Reeza Haida Miskam berkata, pihaknya berbangga apabila pasukan STF menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang dapat menyertai pertandingan berkenaan. 

“Ini kali pertama STF bertanding di peringkat antarabangsa dan pertandingan ini bakal menjadi penanda aras baru kepada pasukan STF. 

“Sudah semestinya harapan kami sangat tinggi untuk mengharumkan nama negara dengan merangkul pingat emas dan menjuarai pertandingan ini,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam. 

Katanya, pasukan yang terdiri daripada 58 pelajar itu bakal bersaing selama dua hari dengan 16 pasukan pancaragam lain dari Indonesia. 

“Terima kasih kepada sumbangan dan sokongan pelbagai pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ibu bapa dan alumni STF yang banyak membantu sehingga pasukan ini mampu bertanding ke peringkat antarabangsa,” katanya. 

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Tun Fatimah, Saiful Yazan Sulaiman berkata, pihaknya bertungkus lumus dalam mengumpul dana untuk menampung kos perbelanjaan sejak Ogos lalu. 

PASUKAN Pancaragam Sekolah Tun Fatimah bergambar sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia dari KLIA bagi menyertai Pertandingan Grand Prix Marching Band kali ke-23, semalam.

“STF sudah lama menyimpan hasrat untuk bertanding di luar negara namun, kita mempunyai kekangan dari segi dana dan peralatan. 

“Alhamdulillah, kali ini kita berjaya mengumpul dana berkenaan dan melalui kutipan itu juga kita dapat menukar 60 peratus peralatan muzik baru yang akan digunakan sepanjang pertandingan itu,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Pasukan Pancaragam STF Esty Farrah Musa berkata, kumpulan yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima itu sudah membuat persiapan terbaik untuk pertandingan berkenaan sejak enam bulan lalu. 

“Pasukan ini akan membawa tema Spirit of Asia dalam mempromosikan negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, China dan Jepun menerusi gabungan muzik orkestra dan pancaragam mereka. 

“Keistimewaan yang ada pada pasukan ini adalah mereka akan membuat persembahan orkestra dan pancaragam yang mana bukan semua kumpulan bertanding mempunyai kelainan seperti itu,” katanya. 

Pasukan itu menjalani sesi latihan selama enam bulan itu tanpa mengganggu tumpuan dalam bidang akademik kerana mereka hanya berlatih selepas tamat sesi persekolahan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/12/297473/kami-idam-pingat-emas-metrotv

Gambar: myMetro