Articles

Nov 4, 2017
  • Share

TVET Semakin Mendapat Sambutan Anak Muda, Pelajar Cemerlang Akademik Turut Memohon

no image

KUCHING 4 Nov. - Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia bukan lagi menjadi pilihan kedua atau terakhir bagi anak-anak muda melanjutkan pelajaran apabila turut diminati oleh pelajar yang cemerlang dalam akademik.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, sambutan positif terhadap TVET menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat negara ini menyedari lulusan institusi latihan kemahiran teknikal dan vokasional menawarka peluang pekerjaan yang tinggi di pasaran.

Katanya, kerajaan sendiri turut memberi perhatian terhadap keperluan melahirkan lebih ramai tenaga mahir lulusan TVET kerana golongan terbabit merupakan 60 peratus daripada 3.3 juta orang yang diperlukan untuk mengisi kekosongan pekerjaan baharu dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RM-11).

“Sebab itu, program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diadaptasi daripada model TVET di Jerman yang mana 70 peratus kandungan latihan dan berorentasikan perantisan diwujudkan bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam program perantis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Kali Ketiga Bagi Kampung Budaya Sarawak Tahun 2017 di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Santubong di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Husain; Pengarah Bahagian Pemantauan Projek Jabatan Pembangunan Kemahiran, Dr. Mohamad Sulaiman; Timbalan Pengarah Bahagian SLDN Jabatan Pembangu a Kemahiran, Omar Jusoh dan Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang.

Seramai 146 perantis Program SLDN yang mengikuti pelbagai bidang di Institut Kemahiran Seni SCV menerima sijil pentauliahan pada majlis konvokesyen kali ini.

Mengulas lanjut, Richard Riot berkata, sehingga kini, SLDN berjaya melatih 91,114 perantis di seluruh negara dan mereka mendapat pentauliahan daripada 5,225 syarikat yang menawarkan program latihan dalam pelbagai bidang menerusi program berkenaan. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/tvet-semakin-mendapat-sambutan-anak-muda-pelajar-cemerlang-akademik-turut-memohon-1.547065#.Wf_TtQMs7MY.twitter

Gambar: Utusan Online