Articles

Nov 5, 2017
  • Share

Noorjahan Calon 50 Guru Terbaik Dunia. Kaedah Let's Rhyme Bawa Dirinya Ke Persada Antarabangsa

no image

‘Guru ibarat lilin’, pepatah ini cukup sinonim bagi menggambarkan kehebatan ‘pengorbanan’ seorang guru yang diibaratkan rela membakar diri demi  menerangi orang lain.

Gambaran itu mungkin hanya sesuai bagi guru di zaman belum merdeka kerana terpaksa  berjalan kaki untuk pergi bertugas, membawa barang makanan untuk seminggu kerana sekolah jauh dari bandar malah ada menyewa pondok buruk sebagai tempat tinggal sementara.

Namun begitu, tidak kurang hebatnya cabaran guru di zaman alaf baharu ini kerana mereka juga banyak mengorbankan masa, wang ringgit dan memerah keringat serta melahirkan buah fikiran hebat demi melihat anak didik dapat menempuh cabaran dunia baharu.

Noorjahan Sultan, 46, yang berasal dari Kuantan dan memulakan kerjaya sebagai guru sekitar tahun 1993 tidak pernah menyesal atas pilihannya melanjutkan pengajian sehingga memperoleh Ijazah Kelas Pertama Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Terengganu.

Menurut guru prasekolah Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama (SKIMU) di sini, titik tolak kejayaannya hari ini bermula dengan pengalaman mengajar selama 13 tahun di arus perdana, 10 tahun di prasekolah dan sekarang bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan dan memperjuangkan literasi maklumat menerusi program Nadi Ilmu Amalan membaca (Nilam).

“Sebelum ini saya memilih untuk mengajar Matematik dan ditawarkan ke prasekolah kerana pada tahun 1991, pendidikan awal mula diperkenalkan di Malaysia dan saya merupakan barisan pertama yang menerajui pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

“Guru juga perlu kreatif dan inovatif dalam menjadikan proses pembelajaran sesuatu yang mesra pelajar, mudah, menarik dan bermakna walaupun sesetengah pihak memandang remeh kepada seorang guru apalagi yang mengajar di prasekolah, namun saya sentiasa yakin guru adalah profesion yang mencipta profesion lain.

“Sejak hari pertama menjadi guru saya menjadikan prinsip ‘di mana ada cabaran, di situ ada ruang’ untuk mencipta perubahan. Kita perlu meningkatkan profesionalisme dari masa ke semasa dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan juga nilai bagi membolehkan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan pembudayaan pendidikan terkini,” katanya kepada Sinar Harian.

Guna kaedah Let's Rhyme ajar bahasa Inggeris

Kesungguhan Noorjahan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid-murid menerusi kaedah Let’s Rhyme telah membuktikan niat dan usahanya selama menjadi seorang pendidik.

Ia terbukti apabila dia  dicalonkan antara 50 guru terbaik seluruh dunia bagi Anugerah Hadiah Guru Global anjuran Yayasan Varkey 2016  dinaungi Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Noorjahan berkata, kaedah pengajaran bahasa Inggeris menerusi bacaan berirama, Let’s Rhyme direka khas untuk meningkatkan pemahaman bahasa Inggeris kepada kanak-kanak berusia empat hingga sembilan tahun.

“Saya memperkenalkan kaedah itu sejak tahun 2009 lagi selepas mendapati penguasaan bahasa Inggeris begitu lemah di kalangan murid sekolah rendah. Bukan mudah hendak membina teks Bahasa Inggeris mesra kanak-kanak, saya perlu berimaginasi supaya perkara disampaikan dapat difahami murid prasekolah.

“Tiga prinsip asas pembangunan dalam Let’s Rhyme ialah keseronokan, bermakna dan holistik, sekali gus menjadikan teknik itu mesra guru dan murid berasaskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

“Saya mewajibkan tiga ayat iaitu 'may i go to toilet, may i drink water dan can i play’ yang disifatkan penting untuk digunakan dalam pembelajaran seharian murid prasekolah terutama apabila mereka hendak bermain. Contohnya, 'can i play ball, sebelum itu hanya 'can i play',” katanya.

Mengimbas kembali momen itu, menurutnya, dia tidak percaya adanya anugerah sedemikian, apatah lagi selepas melihat hadiah wang tunai ditawarkan mencecah AS$1 juta (RM4.3 juta).

“Ketika itu saya mengambil keputusan tidak menyertainya kerana tidak percaya serta musykil selepas diminta pelbagai butiran peribadi daripada pihak penganjur selepas dicalonkan seseorang.

“Namun setelah mendapat informasi bahawa ia betul-betul wujud dan selepas mengetahui ada dua guru Malaysia turut dicalonkan baharulah saya menyertainya.

“Saya rasa bersyukur kerana pernah terpilih. Rasa seronok yang luar biasa apabila dapat membawa nama negara ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, meskipun tidak menang, guru prasekolah ini tetap bangga dan berpuas hati dengan pencapaian dan sumbangannya dalam bidang pendidikan negara.

“10 guru terbaik yang terpilih itu mempunyai pencapaian hebat, antaranya membina sekolah menggunakan dana sendiri, mengajar anak pelarian serta dapat meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah yang sebelum ini tidak mahu berbuat demikian atas faktor kepercayaan kaum.

“Jika dibandingkan dengan pencapaian saya, memang jauh berbeza tetapi saya tetap berbangga kerana menjadi antara 50 guru terbaik daripada lebih 8,000 calon dari 148 negara,” katanya yang berpengalaman sebagai guru selama 22 tahun. 

Terima undangan ke Abu Dhabi

Sementara itu Noorjahan berkata, kepulangannya daripada International Qudwa Forum, di Abu Dhabi, 9 Oktober lalu, memberikannya pengalaman baharu dalam mengembangkan sayap pendidikan.

“Saya rasa sangat bertuah apabila menerima undangan menjadi delegasi dari Malaysia kerana perkataan Qudwa itu sendiri yang bermaksud suri teladan. Sesuatu yang sangat memberi makna.

“Dengan itu sudah tentu saya terpilih sebagai Qudwa dari Malaysia dan hasil perkongsian yang dibawakan semestinya terbaik dalam sistem pendidikan Malaysia sekali gus mengharumkan Malaysia di persada antarabangsa.

“Tambahan pula ia merupakan jemputan keluarga diraja Abu Dhabi dan semuanya dilayan seperti kenamaan, jadi semestinya kita tidak boleh mensia-siakan dan melepaskan peluang ini untuk bertukar-tukar pandangan dan matlamat dalam isu pendidikan ini,” katanya.

Sumber: http://www.gpsbestari.com/berita/pahang/noorjahan-calon-50-guru-terbaik-dunia-kaedah-let-s-rhyme-bawa-dirinya-ke-persada-antarabangsa-1.746638#.We1NCheEYG0.facebook

Gambar: GPSBestari.com