Articles

Nov 4, 2017
  • Share

Atlet OKU Tenang Hadapi PT3

no image

SERAMAI 26 pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamed Al-Bukhary (Integrasi) di Jalan Stadium, Alor Setar menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hari ini.

Penolong Kanannya (Pendidikan Khas), Muhamad Nidzar Sulaiman berkata, pelajar terbabit yang mempunyai masalah pendengaran (pekak dan bisu) adalah daripada 144 calon sekolah berkenaan yang menduduki peperiksaan itu selama empat hari bermula hari ini.

"Pada tahun ini, calon menduduki PT3 adalah paling ramai berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu antara 12 hingga 16 orang.

"Sebagai persediaan, seramai 12 guru pendidikan khas bertungkus lumus membantu pelajar ini mengulangkaji pelajaran selain memberi tumpuan dalam topik penting agar calon dapat lulus dalam semua mata pelajaran," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Sementara itu, bagi atlet yang menjuarai sukan rejam lembing pada Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Kebangsaan 1 Malaysia 2017 pada Ogos lalu, Muhammad Shafiq Makhtar, 17, berkata, dia melakukan persediaan dengan meluangkan masa lebih dua jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran.

"Selain membuat latihan, dia juga tidak meninggalkan solat serta banyak berdoa agar dipermudahkan untuk menjawab PT3 hari ini.

"Saya harap akan lulus semua lapan subjek PT3, walaupun saya aktif dalam sukan namun saya tidak mahu abaikan pelajaran kerana ia akan jadi bekalan untuk saya di masa depan," katanya yang bercita-cita mewakili negara ke peringkat tertinggi dalam sukan itu.

Sementara itu, rakannya Muhammad Adnan Abdul, 16, berharap akan cemerlang dalam mata pelajaran matematik dan geografi kerana sangat meminati dua subjek itu.

"Setiap malam sebelum mengulangkaji pelajaran, saya membaca al-Quran terlebih dahulu supaya saya lebih tenang dan mudah melakukan urusan harian sebagai seorang pelajar.

"Biarpun saya tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU), tapi saya tetap bercita-cita untuk berjaya dalam kehidupan selain dapat membantu bapa yang bekerja sebagai pesawah," katanya yang berasal dari Kuala Kedah.

Muhammad Syafiq dan Muhammad Adnan antara lapan atlet dari sekolah itu yang mewakili Kedah pada Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Kebangsaan 1 Malaysia 2017 yang berlangsung pada 13 hingga 16 Ogos lalu di Pusat Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/271152/atlet-oku-tenang-hadapi-pt3

Gambar: Harian Online