Articles

Apr 14, 2017
  • Share

Bahasa Melayu Perlu Kembali Gemilang

no image

HAMPIR 60 tahun mengecapi kemerdekaan, pelbagai kemajuan telah dikecapi oleh Malaysia dari aspek pemodenan dan kemajuan ekonomi serta pembangunan negara.

Pada masa yang sama, arus pemodenan yang dinikmati negara ketika ini turut menghakis identiti dan budaya bangsa dek kerana asakan globalisasi dan maklumat yang boleh diakses secara ‘hujung jari’.

Orang Melayu terutama anak-anak muda kini sudah tidak boleh lagi bertutur dalam bahasa Melayu tanpa mencampur-adukkan dengan perkataan-perkataan Inggeris.

Menurut penggiat sastera dan budaya Melayu, Dr. Lim Swee Tin, sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu perlu diubah memandangkan masih ramai orang bukan Melayu yang masih tidak tahu bertutur bahasa kebangsaan.

Jelas beliau, pendidikan bahasa Melayu perlu diperkasakan kerana ia merupakan alat komunikasi antara masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

“Jika tiada perubahan dilakukan dalam sistem pendidikan ketika ini yang dilihat semakin cenderung kepada bahasa Inggeris, jumlah mereka yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu akan semakin bertambah.

“Ia sangat bahaya dan tidak baik untuk perpaduan. Amat malang rakyat tidak tahu bertutur bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa perhubungan di negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

“Jika tiada komunikasi antara rakyat yang berbilang kaum ini, bagaimana mereka hendak bersatu dan memahami sesama mereka? Sukarkah hendak menerima bahasa ini sedangkan ini bahasa kita?” soalnya ketika ditemu bual Kosmo! semalam.

Tambah Swee Tin, tiada masalah sekiranya kerajaan mahu rakyat mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bahasa Inggeris, tetapi penggunaan bahasa Melayu perlu diperkasakan terlebih dahulu.

“Masalah utama adalah kaedah pembelajaran bahasa Inggeris itu yang perlu disemak semula jika mahu anak-anak mahir bertutur. Tidak perlu membuat dasar lain yang mengabaikan bahasa Melayu.

“Jika kaedah pembelajaran dan pengajaran yang betul diterapkan dalam sistem pendidikan, tiada masalah untuk kuasai bahasa Inggeris,” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat Kongres Budaya 2017, Hesmel Faznee Ahmad Faisal berkata, ketiadaan dasar jelas mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perdagangan dan pembelajaran tinggi menyebabkan bahasa kebangsaan itu berada pada tahap menyedihkan.

Jelas beliau, nilai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin rendah hingga aspek cinta negara dan bangsa makin merosot.

“Bahasa Me layu kini boleh dianggap sebagai bahasa ‘melayuinggeris’ yang mencerminkan kerosakan bahasanya yang amat serius.

“Dasar Program Dua Bahasa hanya memperhebatkan bahasa Inggeris.

“Melalui Kongres Budaya 2017 pada Sabtu ini, pihak kongres akan mengusulkan tujuh resolusi kepada Raja-Raja Melayu dan kerajaan bagi memperkasakan bahasa dan budaya Melayu dalam setiap aspek kehidupan rakyat,” ujarnya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0414&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Gambar: KosmoOnline

Recent Articles

no image
Jul 25, 2017
Suka Kepada Cabaran
no image
Jul 25, 2017
Pelajar PIMA Beruntung
no image
Jul 25, 2017
Dulu Keding Kini Sado