
Log Transformasi Sahsiah berkesan tangani kes disiplin
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi memperkenalkan buku Log Transformasi Sahsiah di setiap bilik darjah bagi merekodkan salah laku pelajar dalam tempoh persekolahan pada setiap hari.
Pengetua SMK Sungai Besi, Zainudin Mohamad berkata, guru akan mencatatkan salah laku pelajar mengikut kod kesalahan disiplin yang terdapat pada halaman pertama buku itu.
“Setiap guru yang masuk ke kelas untuk mengajar subjek masing-masing mengikut jadual waktu yang ditetapkan perlu merekodkan sebarang kesalahan disiplin pelajar.
“Jika ada kesalahan dilakukan, pelajar terbabit akan dipanggil untuk dikenakan tindakan semasa perhimpunan pada hari berikutnya,” jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hukuman yang dikenakan mengikut kod kesalahan dan dilakukan di bilik disiplin sekolah bukan di depan khalayak semasa perhimpunan.
Zainudin menegaskan, tindakan yang diambil juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
“Terbukti, pendekatan ini berjaya menangani kes disiplin hingga boleh dikatakan ke paras terendah,” ujarnya.
Beliau menambah, ibu bapa turut dimaklumkan mengenai kaedah pengawalan disiplin di sekolah semasa sesi bertemu dengan mereka.
“Ibu bapa dimestikan untuk mengambil kad pelaporan prestasi pelajar agar pihak sekolah dapat menyampaikan maklumat terkini berkaitan pendidikan anak-anak mereka termasuk usaha yang diambil dalam menangani kes disiplin,” jelasnya,
Selain itu, sekolah ini menggunakan alat pengimbas ibu jari bagi merekod kehadiran pelajar yang disambung terus ke sistem e-kehadiran aplikasi pangkalan data murid.
Penggunaan alat ini yang diletak di lokasi strategik juga berjaya membantu mengatasi masalah ponteng sekolah.
Menurut Zainudin, dengan disiplin yang baik secara tidak langsung akan menaikkan prestasi akademik pelajar dan sekolah.
“Hal ini sekali gus menaikkan imej sekolah dan membetulkan persepsi masyarakat terhadap sekolah,” katanya.
Pada tahun lalu, sekolah ini menduduki tempat pertama program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) kategori sekolah menengah peringkat Wilayah Persekutuan.
Seterusnya, kata Zainuddin, bagi menarik minat pelajar untuk mengikuti pembelajaran abad ke-21, semua kelas tingkatan lima dilengkapi dengan projektor LCD manakala kelas lain masih dalam proses dinaik taraf.
“Terkini, pihak sekolah mula melanggang Utusan Pelajar kerana tertarik dengan kandungannya yang dapat membangkitkan minda eksplorasi pelajar,” katanya.
Sebenarnya, ujar beliau, langganan ini merupakan kesinambungan dari tahun lalu tetapi kini pihak sekolah mula melaksanakan Modul 10 Minit dalam perhimpunan mingguan rasmi sekolah melibatkan semua panitia.
“Modul yang diterbitkan pada Utusan Pelajar ini menjadi salah satu sumber alternatif yang dapat membantu kemenjadian murid menerusi aktiviti berteraskan kemahiran berfikir aras tinggi,” katanya.
Baru-baru ini, Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan melaksanakan Modul 10 Minit menerusi aktiviti menganalisa kadar denyutan nadi.
Pelaksanaan modul berkenaan disertai 500 pelajar sesi pagi sekolah ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/log-transformasi-sahsiah-berkesan-tangani-kes-disiplin-1.603065#ixzz56wkwTSG1